Thursday, 24 May 2012

Buai Laju-Laju

Pagi tadi saya terperangkap dalam traffic-jammed. Sekembalinya ke Malaysia, ini merupakan kali kedua saya terperangkap di atas jambatan Pulau Pinang melebihi 2 jam . Azab bukan? Jika ada u-turn, mahu rasanya saya berpatah balik ke mainland. Namun apakan daya 'its a one way ticket', maka terpaksalah kaki terus menekan pedal minyak dan brek setiap 1 minit berselang-seli. Mujurlah kereta bergear automatik, jika manual perit jugalah otot kaki. Lima tahun yang lalu sebelum pihak pengurusan Penang Bridge mengambil tindakan menaikkan papan divider di atas pembahagi jalan jambatan, keadaan lalulintas di atas jambatan lagi teruk dan sesak daripada sekarang. Jika arah ke island berlaku kesesakan akibat kemalangan nescaya lalulintas menuju ke mainland juga turut sesak. Kenapa? Hal ini berlaku kerana sikap 'terlebih prihatin' rakyat Malaysia. Mereka sanggup memperlahankan kenderaan semata-mata ingin melihat apa yang berlaku. Kesudahannya kedua-dua laluan menjadi sesak. Tetapi mujurlah sekarang sudah ada divider, maka peluang untuk 'terlebih prihatin' sudah terbatas.

Bila terperangkap dalam traffic-jammed, untuk menghilangkan rasa bosan pandanglah kiri kanan anda, pelbagai situasi boleh dilihat. Anda akan dapat melihat gelagat si pemandu yang merokok dengan selamba membuang abu rokok dari dalam kereta. Oh..itu tidak menjadi hal kerana abu rokok akan hilang diterbangkan angin. Tetapi yang menjadi hal adalah banyak putung rokok yang akan dihisap, maka kasihan jantung dan paru-paru si perokok. Anda akan dapat melihat gelagat si pemandu yang over-take tanpa pemanduan berhemah. Oh...itu tidak menjadi hal kerana kebanyakan pemandu Malaysia memang gemar berbuat demikian. Tetapi yang menjadi hal apabila sikap tersebut menyebabkan berlakunya kemalangan. Anda akan dapat melihat kelibat pemandu menyanyi riang, barangkali dia cuba menghiburkan hati yang  'pedih' kerana terkandas di dalam jammed. Atau barangkali dia cuba bersikap cool kerana akan lewat sampai ke pejabat.

Cuba teka apa yang saya lihat tadi? Ada buaian di dalam kereta. Pada mulanya saya berasa kelakar apabila melihat  mereka menggantung buaian di dalam kereta. Bolehkah anda bayangkan bagaimana kedudukan buaian tersebut? Kain direntang atau diikat dari pemegang atas pintu kereta kiri dan kanan. Jadi buaian itu merentangi tempat duduk belakang kereta. Saya melihat ada kelibat anak kecil di dalam buaian tersebut. Situasi ini membuatkan saya berasa ngeri dan bukan lagi kelakar. Saya cuba bayangkan jika berlaku situasi pemandu brek secara mengejut. Berkemungkinan anak kecil itu akan terpelanting ke hadapan. Astagfirullah...Jika ibu atau bapa anak kecil tersebut cuba menenangkan anaknya dari menangis kerana kereta bergerak perlahan, saya rasa itu bukan caranya. Peluklah..ribalah anak kecil itu seketika. Sebaiknya letaklah anak di dalam car seat atau carrier. Jika ingin berbuai, buai laju-lajulah di rumah bukannya di dalam kereta. Jika pihak JPJ nampak situasi ini, adakah akan diambil sebarang tindakan terhadap pemandu tersebut?

Buai laju-laju sampai cucur atap,
Belum sampai destinasi takut ada yang meratap.

Malang tidak berbau, bertindaklah menggunakan akal!

No comments:

Post a Comment