Sunday 29 January 2012

Little Boss

Tamat sudah cuti 90 hari. Hari ini saya kembali bertugas. Kelmarin, seharian menyiapkan perkakasan si Little Boss untuk dibawa ke rumah pengasuh. Segala kelengkapan untuk tidur, makan, mandi dan main disediakan. Sebenarnya saya sangat dilemma untuk meninggalkan anak kecil kepada pengasuh. Kes kematian 2 orang bayi di pusat asuhan baru-baru ini sungguh menyentap jiwa seorang ibu. Tidak dapat saya bayangkan perasaan ibubapa bayi-bayi tersebut apabila melihat anak yang sihat, mati secara mengejut. Tidak dinafikan, jika sudah ajal bayi di dalam pelukan kita sendiri pun akan mati. Harus terima qada dan qadar dari Nya. Namun, jika kematian tersebut disebabkan kecuaian individu tertentu ini satu musibah. Jika mati, syurga jannati lah bagi bayi yang suci itu. Bagaimana jika kecuaian pengasuh mengundang kepada kepada kecacatan fizikal dan sebagainya? Trauma bukan?Photo: Little Boss- 3 mos old.

Beberapa minggu yang lalu saya sempat melihat dan mendengar topik penderaan kanak-kanak di Wanita Hari Ini (TV3). Kisah benar di mana, seorang bayi didera oleh pengasuhnya yang menyebabkan bayi tersebut mengalami kecederaan di otak. Kesian..hanya satu timbul dibenak hati saya..'sampai hati dia (pengasuh) mendera bayi yang kecil mulus itu. Hati apakah yang ada di dalam? Hatta ibu kucing (binatang) pun sayangkan anaknya. Inikan pula hati manusia? Nasihat ibu yang bayinya di dera itu adalah untuk KENAL PENGASUH ANAK ANDA terlebih dahulu sebaik-baiknya. Lantaran dari kes tersebut si ibu bertindak berhenti kerja dan menjaga anaknya sendiri. Semasa ditemu-bual ada nada kekecewaan dari si ibu walaupun anaknya kini kian pulih dari kesan penderaan. Ini satu pengajaran kepada ibu seperti saya- working mum!

Kami tidak mengenali pengasuh Asyraf sebelum ini secara langsung. Tetapi anak beliau (cikgu Fatihah) menjadi pengasuh di pusat asuhan, tempat di mana Arissa dan Aydin belajar. Principal pusat asuhan yang memperkenalkan kami kepada kak Ida (ibu). Kak Ida bahasakan dirinya 'ibu'. Bertandang ke rumah beliau, hanya sekali. Dan sekali pandang keadaan rumah dan suasananya (bersih), InsyaAllah saya merasa yakin Asyraf selamat untuk diasuh di sana. Cuak bukan? Sangat particular? Bukan cerewet, saya hanya ingin memberikan suasana yang selesa dan terbaik untuk anak. Kasihan jika bayi yang tidak tahu apa-apa itu diasuh sambil lewa. Lagipun kurang lebih 8 jam sehari Asyraf akan bersama pengasuh, jadi biarlah dia diasuh dan dijaga dengan sempurna.

Pagi tadi saya bisikkan kepada Asyraf yang hari ini dia akan bersama pengasuh. Di dalam hati saya juga berbisik agar pengasuh mengasihi dan menyayangi Asyraf seperti anak sendiri. Saya berdoa kepada Allah semoga dilindungi anak saya dari perkara yang tidak diingini. Saya berdoa kepada Allah supaya hati saya tenang dan lapang untuk meninggalkan anak kepada pengasuh. Itulah dilemma seorang ibu yang bekerja.

Aduhai..cuti 90 hari bergaji sudah bagus, tetapi lebih bagus jika dilanjutkan kepada 180 hari. Apa kata lakukan kajian berkaitan ini? Jika ada yang ingin membuat kajian, saya sudi untuk menjadi responden!