Tuesday 3 April 2012

Permata Hati

Hari ini 3 April. Pantas masa berlalu tanpa disedari suku tahun pertama sudah berakhir. Terasa seperti baru semalam kami meninggalkan bumi England. Tanpa disedari sudah setengah tahun udara dingin Hull kami tinggalkan. Terasa seperti baru semalam Arissa muncul sebagai cahaya mata pertama kami. Tanpa disedari kini Arissa, Aydin dan Asyraf muncul sebagai pelengkap hidup kami. Mereka adalah permata hati kami. Mampukah kami menggilap permata hati kami?
Fenomena sosial yang berlaku di Malaysia sekarang amat membimbangkan. Saya menjadi takut setiap kali menyelak helaian akhbar. Ada sahaja berita kurang menyenangkan hati ibubapa seperti saya. Ada anak yang dilarikan dan ada pula yang rela melarikan diri. Simbah asid sana-sini. Ragut, rogol....'penyakit' masyarakat yang kian menular di Malaysia. Mampukah kami menggilap permata hati di dalam kemelut masyarakat yang menjadi-jadi penyakit sosialnya?
Jika boleh saya ingin memerhati setiap gerak-geri anak saya. Jika boleh saya ingin sentiasa mendampingi mereka. Jika boleh saya ingin belajar, makan dan rehat bersama-sama mereka setiap hari. Dan jika boleh saya ingin bersama mereka 24 jam sehari, 7 hari seminggu, 30 hari sebulan dan 365 hari setahun. Mampukah kami? Secara kalkulatif ia tidak mampu dilakukan. Masing-masing punyai tanggungjawab. Mereka dihantar ke sekolah untuk belajar, kami ke pejabat untuk mencari nafkah. Mereka dihantar ke sekolah untuk menjadi manusia berguna, kami mencari nafkah untuk menjadikan mereka hidup sempurna. Mereka dipinjamkan oleh Allah kepada kami bukan sekadar untuk dijadikan permata hati tetapi mereka amanah Ilahi.
Saya teringat kata-kata seorang makcik 'our kids is not for us to keep, when the time comes we have to let them go'....ooohhhh sedihnya. Bila tiba masanya, saya juga harus melepaskan anak-anak saya.
Tetapi sebelum masa itu tiba, saya bermohon kepadaNya agar kami sentiasa punyai kualiti masa bersama permata hati kami. Sudah lama kami tidak berehat dan bercuti bersama. Bermohon kepadaNya jua agar perancangan kami ke UK pada Julai nanti tercapai.