Sunday, 15 April 2012

Hati Ini Tersentuh Hiba

Hati ini tersentuh apabila mendengar tangisan anak kecil dari bilik di hadapan bilik saya. Saya pasti ibunya bergelut dengan tugasan PhD lalu anak kecilnya turut diheret ke pejabat. Saya pernah bertemu beliau semasa menghadiri kursus Biro TataNegara sekitar pada tahun 2007 sebelum kami melanjutkan pelajaran ke luar negara. Saya pasti oleh sebab tertentu beliau terpaksa atau memilih untuk kembali ke Malaysia, walaupun belum habis sepenuhnya pengajian PhD beliau.

Setiap kali mendengar tangisan anak kecil dari bilik hadapan, jantung saya berdegup kencang. Saya terbayang bagaimana getirnya saya mengharungi kehidupan suatu ketika dahulu sebagai pelajar PhD, ibu dan juga isteri diperantauan. Belas melihat anak menangis tatkala si ibu sibuk dengan tugasan PhD. Belas melihat anak kepingin dikendong manja tatkala si ibu sibuk dengan tugasan PhD. Belas mengenangkan nasib diri sendiri yang menggalas tanggungjawab sebagai pelajar PhD. Saya dapat rasai bagaimana perasaan jiran dibilik hadapan. Saya dapat menjiwai bagaimana kehidupan 'lonely journey' yang beliau alami sekarang.

Duhai jiran..
Tabahi hatimu tempuhi dugaan
Tenangkan dirimu jalani kehidupan

Duhai jiran..
Usah dikesali pilihan ini
Usah ditangisi perjuangan sepi

Duhai jiran..
Usaha mu harus berganda
Usaha mu pasti berjaya!

p/s Anak kecil itu menangis lagi......hati turut seperti rasa ingin mahu menangis!