Tuesday 5 March 2013

VAT 69

Kelmarin saya post isu geran penyelidikan. Dan isu pencerobohan Lahad Datu ada juga kaitannya dengan geran. Isu 'pajak' dan 'serah'. Walau apa kesudahannya, ada nyawa pejuang kita sudah terkorban.  Hati saya terkesan apabila melihat si balu dan anak-anak menangis hiba kehilangan suami dan ayah. Namun, kematian mereka tidak sia-sia. Mereka rebah diperbatasan mempertahankan negara. Merekalah wira kita!

Tahun lalu semasa mengikut program TAZAIC, kami peserta berpeluang bertemu dengan bekas VAT 69. Pada mulanya saya tidak tahu apakah VAT 69. Siapa mereka? Apa sumbangan mereka? Takkala melihat cereka pendek yang ditayangkan tentang para komando ini, air mata saya mengalir laju. Sahabat di sebelah saya menghulurkan tisu. Kemudiannya kotak tisu bergerak dari satu tangan ke satu tangan. Ya..bukan saya seorang sahaja yang terkesan melihat cereka pendek VAT 69, peserta lain juga terkesan. Meremang bulu roma melihat mereka mempertahankan negara walaupun ianya hanya lakonan semula. Tetapi ini lakonan dari kisah benar. 

MasyaAllah, mereka di depan mata berkongsi pengalaman semasa menjadi VAT69. Kagum saya melihat mereka. Ada di antaranya datang bertongkat kerana kecederaan yang di alami semasa bertugas. Ada yang hilang sebelah matanya. Saya tabik hormat kepada mereka. Mereka sangat berpengalaman sehinggakan melihat pada bintang di langit, mereka tahu waktu sekarang jam berapa. Tepat!! Mereka sangat berkemahiran, melihat pada keadaan sekeliling hutan, mereka tahu di mana laluan musuh. Sangat taktikal! Sangat survivor! Semangat juang masih terpancar di kala  mereka bercerita walaupun sudah lama tidak memegang senjata. Apatah lagi kepada mereka yang kini berjuang di Lahad Datu. Sudah pasti semangat mereka mempertahankan negara berkobar-kobar dan tidak luntur dek penceroboh.

Saya membayangkan kita di sini enak menjamah makanan yang enak, mereka di perbatasan belum tentu dapat makan. Mungkin hanya pucuk kayu dan air hujan mungkin menjadi sajian. Kita di sini tidur lena dibuai mimpi, bertilam empuk, mereka di perbatasan mungkin berdiri tidurnya ditemani langit dan bintang kejora. Saya membayangkan jika saya terdampar di sebuah tempat yang bergolak, bagaimana saya ingin mempertahankan diri? Saya tiada sebarang skill untuk mempertahankan diri. Saya tiada sebarang skill untuk membaca peta dan kompas. Damn, salahkan teknologi. Mana mungkin navigator berfungsi jika sesat di hutan belantara. Saya hanya tahu teruja melihat action movie di TV, tetapi saya tidak pernah terfikir untuk mempelajari semuanya itu. Masih belum terlambatkah untuk belajar? Mungkin saya perlu pergi ke MPH untuk membeli buku cara membaca peta. Mungkin saya perlu sertai kelas menembak? Atau saya hanya perlu berdoa negara ini aman damai dan sejahtera. Ya...sentiasa berdoa. Ya Allah Kau Rahmatilah bumi ini.