Monday, 28 May 2012

Gigi

Minggu lepas saya membawa Arissa ke klinik gigi. Gigi susu bawah Arissa masih elok tetapi gigi kekal sudah mula muncul. Jadi terpaksalah gigi susu dicabut untuk memberi ruang kepada gigi kekalnya tumbuh dengan baik. Arissa memang sentiasa excited untuk berjumpa doktor gigi, pertama inginkan gigi yang sihat dan cantik (ini hasil provokasi emaknya) dan keduanya sebab hendak dapatkan sticker dari tuan doktor.

Sampai di klinik mulanya excited, tetapi apabila nampak tuan doktor, dia jadi cuak. Saya sebenarnya cuak juga kerana ini ialah kali pertama giginya akan dicabut. Pelbagai ayat cool down I said to her. Alhamdulillah, 2 batang gigi berjaya dicabut dan she's fine. Ubat tahan sakit pun tidak dimakan. 

Hari ini giliran saya pula. Tapi ini bukan gigi susu yang perlu dicabut tetapi gigi kekal! Lama gigi ini bertahan akhirnya terpaksa dicabut juga. Semasa giliran anak, emaknya bukan main lagi cakap 'tak sakit'. Tetapi bila tiba giliran sendiri, siap tanya doktor 'sakit tak doktor'? Hehehe.. perasaan takut lebih dari anak. Tapi memang sakit...adoiiiiiii! Agaknya cabut gigi kekal lebih sakit daripada cabut gigi susu. Berapa bilangan gigi kekal anda sekarang? Saya sudah hilang satu gigi geraham hari ini. Namun, Allah itu Maha Kaya, bersyukur kita diberi Nya gigi yang pelbagai fungsi. Hilang satu geraham sebelah kanan, InsyaAllah geraham sebelah kiri akan terus berfungsi. 

Sebenarnya gigi yang sihat sangat penting.  Sesungguhnya nabi juga menggalakkan umatnya bersugi, kenapa? Makanan yang dimakan akan dicerna dengan sempurna jika gigi sihat. Oleh sebab itu gigi yang sihat akan menyumbang kepada tubuh badan yang sihat.  Pernafasan juga berlaku dengan baik jika gigi sihat. Hasilnya, otak yang baik dari gigi yang sihat. Apabila gigi sihat, badan pun cergas, InsyaAllah otak pun cerdas.

Tahukah anda pertumbuhan gigi yang normal bermula dari gigi bawah. Namun menurut kata doktor gigi, sejak 20 tahun kebelakangan ini, didapati ada kanak-kanak yang tumbuh gigi atas dahulu sebelum gigi bawah. Ini melanggar hukum normal pertumbuhan gigi? Apakah kesannya? Mengapa berlaku demikian? Doktor gigi perlu membuat kajian perihal ini. Anda ada anak kecil yang belum tumbuh gigi? Perhatikan perkembangan gigi anak anda. Anak saya Asyraf belum tumbuh gigi, sekarang emaknya tak sabar ingin melihat gigi pertama Asyraf tumbuh. Gigi mana dulu? Atas atau bawah?


Thursday, 24 May 2012

Buai Laju-Laju

Pagi tadi saya terperangkap dalam traffic-jammed. Sekembalinya ke Malaysia, ini merupakan kali kedua saya terperangkap di atas jambatan Pulau Pinang melebihi 2 jam . Azab bukan? Jika ada u-turn, mahu rasanya saya berpatah balik ke mainland. Namun apakan daya 'its a one way ticket', maka terpaksalah kaki terus menekan pedal minyak dan brek setiap 1 minit berselang-seli. Mujurlah kereta bergear automatik, jika manual perit jugalah otot kaki. Lima tahun yang lalu sebelum pihak pengurusan Penang Bridge mengambil tindakan menaikkan papan divider di atas pembahagi jalan jambatan, keadaan lalulintas di atas jambatan lagi teruk dan sesak daripada sekarang. Jika arah ke island berlaku kesesakan akibat kemalangan nescaya lalulintas menuju ke mainland juga turut sesak. Kenapa? Hal ini berlaku kerana sikap 'terlebih prihatin' rakyat Malaysia. Mereka sanggup memperlahankan kenderaan semata-mata ingin melihat apa yang berlaku. Kesudahannya kedua-dua laluan menjadi sesak. Tetapi mujurlah sekarang sudah ada divider, maka peluang untuk 'terlebih prihatin' sudah terbatas.

Bila terperangkap dalam traffic-jammed, untuk menghilangkan rasa bosan pandanglah kiri kanan anda, pelbagai situasi boleh dilihat. Anda akan dapat melihat gelagat si pemandu yang merokok dengan selamba membuang abu rokok dari dalam kereta. Oh..itu tidak menjadi hal kerana abu rokok akan hilang diterbangkan angin. Tetapi yang menjadi hal adalah banyak putung rokok yang akan dihisap, maka kasihan jantung dan paru-paru si perokok. Anda akan dapat melihat gelagat si pemandu yang over-take tanpa pemanduan berhemah. Oh...itu tidak menjadi hal kerana kebanyakan pemandu Malaysia memang gemar berbuat demikian. Tetapi yang menjadi hal apabila sikap tersebut menyebabkan berlakunya kemalangan. Anda akan dapat melihat kelibat pemandu menyanyi riang, barangkali dia cuba menghiburkan hati yang  'pedih' kerana terkandas di dalam jammed. Atau barangkali dia cuba bersikap cool kerana akan lewat sampai ke pejabat.

Cuba teka apa yang saya lihat tadi? Ada buaian di dalam kereta. Pada mulanya saya berasa kelakar apabila melihat  mereka menggantung buaian di dalam kereta. Bolehkah anda bayangkan bagaimana kedudukan buaian tersebut? Kain direntang atau diikat dari pemegang atas pintu kereta kiri dan kanan. Jadi buaian itu merentangi tempat duduk belakang kereta. Saya melihat ada kelibat anak kecil di dalam buaian tersebut. Situasi ini membuatkan saya berasa ngeri dan bukan lagi kelakar. Saya cuba bayangkan jika berlaku situasi pemandu brek secara mengejut. Berkemungkinan anak kecil itu akan terpelanting ke hadapan. Astagfirullah...Jika ibu atau bapa anak kecil tersebut cuba menenangkan anaknya dari menangis kerana kereta bergerak perlahan, saya rasa itu bukan caranya. Peluklah..ribalah anak kecil itu seketika. Sebaiknya letaklah anak di dalam car seat atau carrier. Jika ingin berbuai, buai laju-lajulah di rumah bukannya di dalam kereta. Jika pihak JPJ nampak situasi ini, adakah akan diambil sebarang tindakan terhadap pemandu tersebut?

Buai laju-laju sampai cucur atap,
Belum sampai destinasi takut ada yang meratap.

Malang tidak berbau, bertindaklah menggunakan akal!

Monday, 21 May 2012

Bibit Cinta

Minggu ini sudah pun minggu ke empat di bulan Mei. Sebagai internal examiner saya ada tiga manuskrip MBA untuk dibaca dan dikomen. Aduh! Sempatkah untuk menilai ketiga-tiganya dengan baik? Manuskrip diterima pada minggu lepas dan Jumaat ini report perlu dihantar ke pejabat sebelum viva voce pelajar berlangsung minggu hadapan. Saya telah glance-thru manuskrip-manuskrip tersebut, ada yang kerjanya baik dan ada juga sebaliknya. Jika belum bersedia untuk di examine kenapa hantar dissertation anda? Ini menjadi tanda tanya bagi saya. Saya dapat rasakan mereka ini hanya belajar untuk lulus MBA dan bukan untuk mendapat ilmu. Jika anda hanya berhajat untuk lulus maka keputusannya sudah tentu hanya lulus. Berbaloikah?

Hujung minggu ini saya akan beri lecture terakhir untuk semester ini. Selepas ini, pelajar akan menghadapai final exam dan cuti semester akan bermula mulai Julai. Persediaan mengajar untuk kelas akan datang belum pun sempat dilakukan. Kelas hujung minggu bermula dari jam 9 pagi hingga 5 petang. Penat jugalah jika hanya bercakap selama 8 jam. Jadi struktur pengajaran perlu diolah supaya tidak membosankan. Pelajar sekarang tidak hanya berminat kepada nota kuliah, mereka lebih berminat mendengar dan belajar jika apa yang diajar dapat dikaitkan dengan dunia di luar bilik kuliah. Guru pada zaman sekarang perlu menjadi seperti kamus bergerak kerana pelajar sekarang cepat dan peka dengan apa yang berlaku diluar sana. Kita bertanyakan soalan dihadapan, mereka sudah pantas menggoogle jawapannya. Kadangkala saya merasakan teknologi membawa 'penyakit malas berfikir' bagi sesetengah pelajar. Saya ketawa kecil apabila membaca abstrak pelajar yang di translate dari bahasa Inggeris ke bahasa Melayu. Apabila mereka sekadar menggunakan teknologi, yakni google traslation application, bahasa ibunda yang cantik menjadi caca-merba. Kadangkala teknologi yang diguna secara membuta tuli akan menjadikan manusia itu lebih bodoh.

Dua article saya juga telah ditolak oleh dua penerbit antarabangsa. Perasaan kecewa memang teramat sangat. Namun ini hakikat yang perlu diterima sebagai ahli akademik apatah lagi novice researcher seperti saya. Pelbagai nasihat diterima dari orang yang lebih berpengalaman berkaitan perkara ini. Pokoknya, kata mereka jangan putus asa dan keep sending your papers until they accept it! Sebenarnya saya harus menerima  hakikat yang saya tidak dapat menulis dengan baik sejak akhir-akhir ini. Pelbagai tugasan in between perlu diselesaikan, natijahnya paper ditulis dalam keadaan kelam kabut bagi memenuhi dateline. Ini satu amalan yang tidak baik. Saya kecundang dalam menguruskan masa sejak kebelakangan ini. I have to sit down and read & write my article carefully. Abstrak saya telah diterima di satu conference antarabangsa. InsyaAllah jika full paper diterima, pembentangan oral akan dibuat di Pafos, Cyprus bulan November nanti. Dateline bagi full paper 6 Jun nanti. Aduhaiiii...sempatkah mengejar dateline? Pada minggu yang sama, dua pelajar saya akan membuat pembentangan project management mereka. Jadi saya perlu membantu selia mereka. Sudah pasti saya juga perlu menyemak report mereka. 

Saya tidak pernah menyangka dunia akademik sesibuk ini. Saya tidak menyangka dunia akademik penuh warna warni. Saya tidak pernah menyangka saya akan terjerumus ke kancah akademik. Saya tidak pernah menyangka hari demi hari perasaan terhadap dunia akademik membibitkan rasa cinta!


Tuesday, 8 May 2012

Panas

Penghawa dingin di bilik ofis ini meragam lagi. Sudah bosan untuk membuat laporan kerosakan kerana tindakan yang diambil oleh pihak kontraktor seolah-olah seperti melepaskan batok di tangga. Apabila ditanya kenapa kerosakan yang sama sering berlaku, jawapan dari mereka 'ini kena trial & error baru kita tahu apa yang rosak'. Oooo..begitu pulak? Mudah jawapan bagi pekerja yang tidak efficient dan bertanggungjawab. Saya panas kerana tiada penghawa dingin. Saya panas hati kerana terpaksa berdepan dengan kerenah kontraktor yang sambil lewa.

Lupakan kisah 'panas'. Mari kita belajar bahasa. Penggunaan bahasa Melayu dengan betul dan rapi. Pensyarah baru diwajibkan untuk lulus peperiksaan Bahasa Malaysia (LKM 300). Jadi sebagai persediaan kami perlu menghadiri kelas Bahasa Malaysia. Pada tahun 1994 saya mengambil peperiksaan SPM dan berjaya mendapat A1 untuk keputusan Bahasa Malaysia. Namun untuk peperiksaan kali ini saya tidak pasti boleh mengekalkan tahap kecemerlangan itu. Banyak kesalahan tatabahasa yang sudah terbiasa diguna pakai.

Contohnya penggunaan 'baharu' dan 'baru'. Sekarang meluas digunakan ejaan 'baharu' dan bukan lagi 'baru'. Apakah perbezaannya? Yang mana satu betul? Kedua-duanya boleh digunakan. Jadi, penambahan dua abjad (ejaan menjadi lebih panjang) hanya menguntungkan pihak pengiklanan. Lagi panjang ayat, lagi tinggi kos pengiklanan.

Kita terbiasa mendengar pepatah 'bagai pungguk rindukan bulan' bukan? Sebenarnya, ayat yang lebih rapi ialah 'bagai pungguk rindui bulan'. Kita terbiasa menyebut 'harapkan pagar, pagar makan padi'. Sebetulnya 'harapkan pegar, pegar makan padi'. Ejaan 'pagar/pegar' dipengaruhi oleh ejaan jawi sebenarnya, iaitu pa ga ra'. Pagar ialah dinding atau fence.  Mana mungkin pagar makan padi. Pegar ialah sejenis burung yang memakan padi. Namun apabila ejaan dari jawi dirumikan, terhasillah pagar bukan pegar. Seperti juga 'melepaskan batok ditangga'. Kebiasaan kita mengeja sebagai batuk. Sebetulnya adalah batok. Batuk ialah perbuatan  (caugh). Tetapi di dalam pepatah ini batok merujuk kepada gayung atau cebuk air yang dilepaskan di tangga. Mana mungkin kita melepaskan 'batuk' di tangga.

Aduhai.....bahang peperiksaan sudah dirasai. Makin panas dan berapi kepala saya untuk merapikan penggunaan bahasa Malaysia. Diharapkan boleh lulus peperiksaan LKM 300. Kalau gagal, buat malu diri sendiri saja! Aduhai..bilik ini terasa semakin panas. Tolong! Saya perlukan bahan penyejuk bilik. Mari lihat budak kecil ini sebagai bahan penyejuk mata. Alahai anak mummy..sudah 6 bulan Asyraf yer?