Sunday, 8 January 2012

901 Kembali Bersiaran

Bersawang dan berhabuk 'rumah' maya saya ini. Bukan tidak online, setiap hari pasti online cuma waktu berblogging sangat terbatas. Niat untuk membaca blog-blog kegemaran pun banyak yang tertunda. Sibuk unpack barang, sampai ke hari ini masih ada kotak yang belum dibuka. Sibuk dengan tugasan baru, belum habis maternity leave sudah diminta 'bekerja'. Sibuk dengan pengurusan sekolah anak-anak, hingga ke hari ini mereka masih rindui sekolah di England. Si kakak dan abang yang dulunya montel kini kian susut tubuh badan mereka. Dua beradik itu jarang jatuh sakit ketika di England, kembali ke sini lain pula keadaannya. Barangkali mereka perlukan masa untuk sesuaikan diri dengan cuaca Malaysia. Dan saya juga sibuk dengan bayi kecil ini. Tidak ada rasa sedikit jemu pun untuk membelai Mohamad Ilham Asyraf, yang kini kian galak tersenyum bila diagah.

Di luar sana orang sibuk berbicara soal 901. Keputusan mahkamah hari ini berikutan kes AI juga bakal memperlihatkan kepada umum fenomena baru, positif atau sebaliknya badan kehakiman negara. Tetapi saya di sini tidaklah sibuk ingin mempersoalkan 901. Biarlah mereka yang berminat serta arif untuk membincangkan soal 901. Bagi saya 901 adalah tarikh saya mula kembali bersiaran di blog. Wohaaa!

Sudah 9 hari kita di tahun 2012. Tahun 2011 kita tinggalkan dengan pelbagai ceritera. Semua peristiwa yang berlaku sudah menjadi kenangan dan sejarah. Ya, 2011 banyak perkara penting yang berlaku dalam kehidupan saya sebagai hambaNya. Banyak kenangan manis yang ingin dikenang selamanya dan ada juga sejarah hidup tercipta pada 2011. Berjaya menamatkan pengajian PhD dalam tempoh umur sasaran, ini merupakan detik sejarah dalam hidup saya. Kelahiran anak ketiga juga merupakan kenangan terindah bagi saya. Semuanya rezeki dariNya.

Sebenarnya saya tidak sabar untuk melalui kehidupan routine di Malaysia dengan lebih teratur. Mengakui hakikat kehidupan di sini sangat 'sibuk' tetapi saya berazam untuk menguruskan kehidupan di sini sebagai seorang isteri, anak, ibu, pekerja dan kawan dengan sempurna, adil dan saksama. Saya tidak ingin melihat insan-insan yang saya sayangi terasa terabai dek kesibukan mengejar arus kesibukan di Malaysia. Namun, impian murni saya ini tidak akan tercapai tanpa sokongan dari mereka. Saya perlukan TANGGUNGJAWAB SOSIAL bersama untuk merealisasikan impian saya untuk menjadi insan yang berguna serta disayangi mereka.

No comments:

Post a Comment