Showing posts with label Motivasi. Show all posts
Showing posts with label Motivasi. Show all posts

Thursday, 13 February 2014

Syukur

Syukur. Bersyukur. Mensyukuri. Alhamdulillah.

Syukur. Permulaan quarter pertama tahun kuda kayu (wood horse) bermula dengan agak sempurna. Diberi kesihatan yang baik, walaupun kadang-kala sakit urat sendi petanda ageing. Duit di bank tidak bertambah, makin susut ya! Kerana hidup di salah sebuah bandar yang dinobatkan sebagai place with high cost of living. Kerjaya pula makin mencabar kerana pelbagai polisi baru. Terasa ingin merungut. Tetapi lupakan saja, kita hanya perlu rasa syukur kerana masih diberi peluang untuk berdiri teguh di sini.

Kini sudah di pertengahan Februari. MasyaAllah, pantasnya masa berlalu. Seperti baru semalam tamat semester I, minggu hadapan semester baru akan bermula. Belum sempat berehat, minggu hadapan kelam-kabut pula. Tapi bersyukur, sekurang-kurangnya saya ada kerja untuk dibuat. Ada orang tidak tahu untuk berbuat apa-apa. Jadi ramai yang buat kerja yang bukan-bukan dan fikir perkara yang bukan-bukan. Mereka perlu diingatkan dengan surah Al-Asr yang bermaksud :
           “Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman  dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.” (Al-Asr : 1 – 3).


MBA students- November 2013.

Disember lalu saya ke Bangalore, India. Itu pertama kali saya menjejaki India. Saya berpeluang melihat keadaan sebenar India. Incredible India! Saya datang dari negara yang sedang membangun. Saya pernah tinggal di negara maju. Jika di sini ada orang tidak dapat makanan, di sana mungkin 100 orang dan lebih tidak ada makanan. Di sini ada orang bergelandangan, di sana satu keluarga menjadi gelandangan. Bukan hanya satu keluarga, malah ramai keluarga hidup bergelandangan. Apabila melihat India, saya mensyukuri nikmat yang saya perolehi di Malaysia. Walaubagaimana pendapat umum (positif atau negatif) berkaitan Malaysia, saya tetap mensyukuri nikmat menjadi rakyat Malaysia.


Bangalore Palace-December 2013.

Monday, 25 November 2013

Rezeki Hujung Tahun

Minggu ini saya terima dua surat daripada pejabat penyelidikan universiti. Satu berita sukacita dan satu lagi berita dukacita. Yang mana satu hendak dikongsi? Suka atau duka? Kedua-duanya ada implikasi.

Geran RUI (internal grant) saya ditolak. Sedih. Isunya masih sama metodologi tidak jelas dan gantt chart tidak selari dengan metod. Tidak pulak mereka menolak idea kajian yang diusulkan. Secara kasar buah yang dipilih nampak sedap, tetapi pisau pemotong belum cukup tajam. Arrghhhhhh...saya kecewa kerana ini topik kesukaan saya. Topik berkaitan WANITA.

Geran FRGS (external grant) saya diterima KPM. Alhamdulillah. Sistem MyGrants dari KPM agak rumit. Saya bersengkang mata untuk menyiapkan kertas cadangan dan menghantar topik ini untuk dinilai. Penilaian dilakukan pelbagai peringkat. Penat menunggu keputusan, akhirnya ia berbaloi. Topik ini bidang saya suatu ketika dulu. Tapi sebenarnya saya kurang berminat untuk melakukan kajian topik ini. Namun, memandangkan seorang PhD student saya baru memulakan kajian ini, niat awal saya menulis kertas cadangan ini adalah untuk membantu PhD student saya. Niat saya dengan geran yang diperolehi, dapatlah sedikit sebanyak menolong beliau dalam pengumpulan data nanti. Mungkin niat menolong itu baik...jadi Allah perkenankan usaha kecil ini, walaupun saya kurang berminat pada asalnya. 

Alhamdulillah. Ini adalah rezeki hujung tahun. 
Rezeki KPI untuk tahun 2013. Walaupun banyak lagi ruang kosong perlu diisi untuk KPI 2013, bolehlaaaaaa untuk saya yang ala-ala bergerak macam kura-kura. 

Sekarang musim cuti sekolah. Arissa sudah bertanya ke mana kita cuti sekolah ini? Kami berkata tidak ke mana-mana. Dia kecewa. Tetapi belum pandai menunjuk rasa protest. Sebenarnya saya dan suami sudah merancang untuk ke selatan tanahair Disember nanti. Rakan baik kami yang menetap di England akan pulang ke Malaysia untuk bercuti. Kami berhasrat melawat dan bercuti bersama Eita dan Daniyal Francesco Leonardis. Arissa, Aydin dan Asyraf mesti seronok jumpa Alia, si budak comel kacukan Melayu-Jawa-Itali. 

Alhamdulillah. Ini adalah rezeki anak-anak.
Rezeki dapat jumpa kawan-kawan. Tak sabar rasanya. Banyak cerita ingin dikongsi bersama.

Esok saya akan terbang ke Surabaya. Kami dijemput sebagai guest lecturer di salah sebuah universiti di situ. Khabarnya turun dari airport, perlu menaiki kenderaan pacuan empat roda selama 3 jam sebelum tiba ke destinasi. Adoiii....harap mereka tidak perlu panggil ambulance untuk saya. Hujung Disember, saya akan ke Bangalore, India. Membentangkan kertas kerja di IIM. Ini pengalaman pertama saya menulis kajian kes. Tidak sangka pulak paper yang ditulis ini diterima untuk dibentangkan di IIM. Umpama budak baru lahir. Saya memang sangat naif tentang penulisan kes. Saya sebenarnya orang quantitative, tidak berminat sangat untuk menulis kes. Tetapi kerana agenda school yang ingin menjadi top business school, kami digesa disaran untuk menulis kajian kes dan mempraktikan case teaching method. Dan kerana paper ini berkaitan kes, kos ke Bangalore kali ini ditaja sepenuhnya oleh pihak school.

Alhamdulillah. Ini adalah rezeki orang menuntut ilmu.
Kata dekan, kami di school perlu diversify skills. Saya fikir habis PhD, tidak lagi ingin explore ke school of thoughts yang lain. Tapi itu hanya tinggal angan-angan. Berada di dalam kelompok ini, saya mungkin tidak akan habis belajar. 

Kadangkala kita beranggapan kenapa Tuhan tidak memberi apa yang kita minta. Sebagai hamba kita tetap memohon dan meminta-minta. Tetapi kita tidak sedar, kadangkala apa yang kita minta itu bukan yang terbaik untuk diberiNYA. Kerana Tuhan Maha Mengetahui apa yang terbaik dan ingin memberikan sesuatu yang lebih baik. Inilah dia....rezeki hujung tahun! Alhamdulillah.

Monday, 11 November 2013

Penulis Mesti Kreatif dan Idealis

Jumaat lepas, kami mengikuti perkongsian ilmu daripada Dr. Awang. Terima kasih kerana sudi datang ke tempat kami. Dr. Awang 'Albert Einstein Malaysia', kata salah seorang kawan saya di sini. Dr Awang orang psikologi. Jadi banyak contoh yang diberi sangat praktikal dan kita boleh relate dengan mudah apabila mendengar ceramah beliau. Bagi kami di bidang managment and business, kadangkala sangat susah untuk memberi contoh yang mudah untuk difaham dan dibawa berbincang secara santai. Contohnya isu-isu seperti  governance, demand-supply, consumer behaviour dan lain-lain, sukar untuk difahami jika tidak memahami konteksnya terlebih dahulu. Bukan itu saja, isu-isu tersebut tidak seronok untuk dibincangkan pun.

Banyak yang beliau kongsi untuk penulisan jurnal berimpak tinggi. Antara tips yang dikongsi adalah teknik penulisan yang berkesan untuk menarik perhatian 'sang editor'. Saya sering terlupa perkara ini. Terlupa untuk memuji kerja sendiri! Kata Dr Awang, ada perenggan yang memerlukan kita memuji kerja sendiri. Selain itu perlu juga kita 'mengutuk' kerja orang lain. Ya, itu juga penting kata Dr Awang! Secara kasar, kerja penulisan memerlukan teknik yang betul. Secara terperinci ianya lebih daripada itu.

Berdasarkan pengalaman yang sedikit, saya dapati setiap jurnal mempunyai preference untuk mereka terbitkan makalah. Dengan kata lain jika kita penuhi kehendak mereka, mereka tidak berlengah untuk menerima makalah yang dihantar. Jarang sekali, artikel yang dihantar tidak memerlukan sebarang penambahbaikan. Paling tidak mereka menegur tatabahasa. Namun, faktor bahasa bukan perkara penting. Dr. Awang juga bersetuju dengan pendapat ini. Pokok pangkalnya, cara penyampaian itu yang penting. Jika ada isi, namun tidak dikupas dan digarap sepenuhnya, mesej tetap tidak akan sampai kepada pembaca. 

Penulisan yang baik adalah hasil daripada penulisan yang kreatif dan idealis. 

Entah bila saya akan menjadi penulis yang baik.

Saya pernah menulis tesis PhD berhalaman 400 lebih muka surat. Tugasan ini amat berat kerana supervisor (Prof. Jon Reast) saya seorang yang meticulous. Namun ini amat membantu Prof. James Devlin, Dr. Haseeb dan Dr. David Bright untuk menilai thesis tersebut. Mereka  hanya meminta saya menambah satu perenggan untuk mengulas lanjut practical implication dari kajian yang dijalankan. Tetapi tesis saya bukan yang terbaik, kami semua sekadar puas membaca tesis tersebut.

Saya masih menambah-baik satu artikel yang dihantar ke jurnal antarabangsa. Editor meminta saya menilai semula cadangan reviewer pertama. Reviewer kedua berpendapatan semuanya baik belaka. Kadang kala kita menerima dua pendapat yang berbeza. Ini telah mengambil masa kurang lebih setahun. Mungkin reviewer pertama itu, seorang yang meticulous.  Walaupun amat penat untuk menulis dan menambah baik tulisan yang dikritik tetapi usaha ini perlu sehinggalah reviewers puas membacanya.    

Saya dan rakan ada menghantar judul buku ke Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk ditulis. Pihak DBP meluluskan judul buku kami. Kami diberi tempoh untuk menyiapkan manuskrip tersebut. Kami berkira-kira untuk memohon pelanjutan tempoh menulis. Ini baru fasa pertama, kami sudah 'kalut' diburu masa. Belum masuk ke fasa editing dan sebagainya. 

Menjadi penulis yang baik juga perlukan masa!

Entah bila saya akan menjadi penulis yang baik.


Kerana saban hari di sini, seoalah-olah tidak cukup masa. Agaknya saya perlu bercuti sebulan dua untuk menulis dengan baik.

Thursday, 4 July 2013

Siapa Musuh Kita

Beberapa minggu yang lalu saya sangat sibuk dengan pelbagai tugas hakiki di pejabat. Selesai invigilate, bermula tugas marking examination scripts. Kemudian bersambung dengan bengkel kajian kes. Dan diteruskan dengan mengurus aktiviti academic visit programme untuk executive MBA dari Pakistan. Seramai 10 orang participants dari sebuah universiti terbaik di Pakistan terlibat dalam program ini. Program ini sudah dirancang sejak beberapa bulan yang lalu dan saya diberi tanggungjawab untuk melaksana dan mengurus program ini. Dari penyediaan kertas kerja, hinggalah pelaksanaan program. Sangat penat. Sesekali terasa seperti mahu 'quit' dari tugas ini. Terasa letih kerana saya perlu membuat panggilan telefon, menulis surat, follow up itu dan ini. Bak kata lain sudah seperti pegawai perhubungan awam. Dan paling worst, terasa seperti seorang receptionist.

Dalam masa yang sama, editor sebuah jurnal telah memberi feedback dengan sebuah manuscript yang dihantar beberapa bulan lalu. Ada revision yang perlu dibuat. Argghhhhhhhhhhhh...kenapa semuanya datang serentak?? Saya lost dengan keupayaan diri sendiri. Saya letih dan mula terfikir apakah tugas hakiki sebenar saya sebagai seorang pensyarah? Adakah apa yang saya lakukan sekarang tidak selari dengan my teaching philosophy? Adakah saya seorang yang rigid? Perlukah saya menjadi all-rounders?

Sebenarnya saya diserang musuh. Siapa? Diri saya sendiri!! Saya melihat kembali kepada anak perempuan saya Arissa. Arissa seorang yang bermotivasi dan ingin yang terbaik untuk dirinya. Mungkin juga sebagai kakak sulung, beliau berketrampilan sebagai individu yang ingin kehadapan. Kami menghantar Arissa ke kelas berenang bersama adik lelakinya, Aydin, 5 tahun. Setiap kali Arissa pulang dari latihan renang beliau akan merungut dan mengeluh. She always complaint ' I don't want to go swimming lesson anymore'...'I can't breath'..'I just want to swim' and so on.  Walhal, adik lelakinya memberi respond yang berbeza,  'I want to go swimming again'....'I know how to rescue Arissa' .

Apabila saya melihat situasi ini, tiada beza antara saya dan Arissa. Ada 'musuh' di dalam diri kami. Musuh itu telah menyekat keupayaan kami. Musuh itu, jika tidak dihapuskan akan memusnahkan kredibiliti kami untuk terus maju kehadapan. Siapa musuh kami?? Musuh kami adalah diri kami sendiri!!!

Jadi saya menasihati Arissa yang dia sebenarnya sudah mula pandai berenang. Dia sebenarnya sudah memahami konsep berenang. Sebagai seorang perenang, "the more you know how to swim, the more you'll be scared to swim". Jika Arissa terus belajar, InsyaAllah dia akan jadi perenang yang baik.
Begitu juga saya, jika saya terus berani menerima bebanan tugas ini, saya akan terus menjadi individu dan pensyarah yang baik.

Sekarang apa yang saya dan Arissa perlu buat? Kami perlu bersaing dengan diri sendiri dan melawan musuh kami dalam perang hendap membina kendiri.

I don't know, sometimes I just get tired with doniaaaaaaa stuffs! Semoga usaha mengejar dunia..membawa kebaikan di akhirat. InsyaAllah.

Friday, 21 June 2013

My Teaching Philosophy



My first job was a customer service executive with one of the well-known government-linked company in Malaysia. I have been trained to meet the stakeholder needs and wants, especially the customer. We will assist the customers’ problem (if any) within 24 hours. We have to remind ourselves that ‘customer is always right’. As a front-liner, we are the first person to deal with the customer. Many times, I face difficulties in handling customers’ complaint especially when there is minimum support from the management. Sometimes, it is not the management burden. But the governance process, does make things complicated, especially when there is lack of resources.  I feel frustrated. After all, what intelligent employee would actually continue to go to work? I did not realise the multitude of setting in which employee might go to learn new things. I certainly did not count work pressures as one of those settings. 

I attended post-graduate class where adults learners are widening their knowledge. As I listened to my professors, I realised that the working experience helped me with my learning process. In effect, I was trained to be an educator since the first day I sign in as customer service executive. After I began teaching, I had a conversation with my colleague about ‘how to teach adults’? My colleague made the comment that ‘don’t just teach, but sharing’. I immediately thought he meant that the student expected more from the lecturer, but he corrected me. What students love, he said, is knowing who I am as a person. That comments has stayed with me and shaped how I think about teaching and learning and what I do in and out of the classroom.

Wednesday, 17 April 2013

Kiasu

Kiasu asalnya adalah perkataan Hokkien. Kiasu membawa maksud 'takut kalah' or 'fear of losing'. Demam PRU13 semakin ketara. Di sana sini sudah kendengaran orang itu berkempen ini, berkata yang sana, memuja-memuji di sini dan tidak kurang hebat juga yang mencaci-cerca di sana-sini. Itu perang mulut. Nah..cuba lihat kiri kanan jalan anda, meriah bukan? Perang poster, bendera dan sepanduk! Sesekali melihat lambaian bendera yang bewarna-warni, ada biru, ada merah, ada hijau..cantik juga! Lebih dari cantik bila ditambah dengan kreativiti ahli parti. Ada kawan maklumkan kepada saya, di kampung beliau ada replika meriam, ada replika cincin. Saya dengan naif bertanya, kenapa mesti cincin? Kawan menjawab cincin kak Rose....emmmm aduhai sampai begitu sekali ya berkempen. Apapun di harap wakil-wakil parti yang bertanding, berkempenlah dengan cara berhemah serta bertamadun. Jangan kiasu!

Minggu lepas saya cuba menghantar dua artikel ke jurnal untuk dinilai. Ya, saya sangat kiasu dalam hal ini! I'm fear to receive the rejection notice from the editor. Dalam hal ini kiasu membantu saya untuk berusaha keras memperbaiki mutu kajian dan tulisan. 

Jadi kiasu tidaklah untuk perkara negative sahaja ya?! Again, bak kata orang putih...its depends on how you see it!

Monday, 4 March 2013

Geran

Bila disebut geran, apa yang terbayang adalah 'privilege or right'. Lunas bayaran loan rumah dengan pihak bank, baru kita diberi privilege dan hak sepenuhnya ke atas rumah yang dibeli, melainkan rumah itu dibeli secara tunai tanpa hutang. Lunas bayaran loan kereta, baru pihak bank serahkan geran dan kereta itu hak kekal milik kita. Apabila cadangan penyelidikan diterima, barulah pihak terbabit (agensi luar) membiayai geran penyelidikan pensyarah. Itulah geran! Secara dasarnya untuk mendapatkan satu-satu geran, ia bukannya mudah. Mengambil masa dan menuntut kesabaran yang tinggi.

Bulan lepas, saya 'stress' membuat penambahbaikan geran FRGS dan kelmarin menerima satu lagi laporan panel dalaman untuk penambahbaikan geran ERGS pula. Walaupun pada dasarnya geran ini berkumpulan, kebiasaannya ketua penyelidiklah yang berperanan besar dalam hal ini diperingkat awal. Susah betul untuk mendapatkan geran penyelidikan sekarang. Banyak peringkat perlu ditempuh dan panel dalaman melakukan tapisan awal sebelum proposal dihantar untuk penilaian ke peringkat seterusnya. Di peringkat universiti sudah beberapa kali tapisan, belum lagi diperingkat Kementerian Pengajian Tinggi. 

Haiiii..apakah keputusan panel KPT dengan proposal penyelidikan FRGS saya?? Geran FRGS, model fundamental perlu diutarakan, jadi saya mencadangkan untuk membentuk model Flexible Working Arrangement (FWA). Harapan besar pihak KPT merima proposal saya, dapatlah saya lakukan kajian ini dengan senang hati dan fikiran tanpa memikirkan budget research. Geran ERGS pula, lebih menjurus kepada exploratory, jadi saya ingin meneroka  Women & Entrepreneurship. Pada asalnya, saya hanya mencadangkan quatitative study kerana sebab-sebab tertentu, tetapi panel mencadangkan agar diadakan focus group juga.

Saya berharap dapatlah saya dana daripada salah satu geran ini. Dengan geran penyelidikan saya mampu melakukan kajian dengan lebih luas dan efektif, InsyaAllah. Dengan dana yang dipohon dapatlah saya merancang perjalanan penyelidikan saya. Betul, tanpa geran peyelidikan anda (pensyarah) tidak dapat bergerak ke mana-mana. Saya ingin mulakan dari garisan sini....saya baru mampu bertatih tetapi saya tidak mahu menjadi PEMBONCENG GRATIS!

Monday, 18 February 2013

Perkongsian Yang Baik



Lama sudah tidak mengupdate blog. Tanpa disedari masa terus berlalu sehingga ada kawan yang menegur. Barangkali beliau 'rindu' untuk menatap bait-bait kata yang tidak seberapa daripada blog ini. Jadi untuk memenuhi hajat beliau kita mulakan dengan perkongsian yang baik. Tiada yang lebih baik serta indah melainkan kata-kata daripada kalam Allah.

Sesungguhnya orang-orang yang tidak menaruh ingatan akan menemui Kami (pada hari akhirat untuk menerima balasan) dan yang reda (berpuas hati) dengan kehidupan dunia semata-mata serta merasa tenang tenteram dengannya dan orang-orang yang tidak mengindahkan ayat-ayat (keterangan dan tanda-tanda kekuasasaan) Kami. (7) Mereka yang demikian keadaannya (di dunia), tempat kediaman mereka (di akhirat) ialah Neraka; disebabkan keingkaran dan kederhakaan yang mereka telah lakukan. (8) Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, Tuhan mereka akan memimpin mereka dengan sebab iman mereka yang sempurna itu. (Mereka masuk ke taman yang) sungai-sungainya mengalir di bawah tempat kediaman mereka di dalam Syurga yang penuh nikmat. (9) Doa ucapan mereka di dalam Syurga itu ialah Maha Suci Engkau dari segala kekurangan wahai Tuhan! Dan ucapan penghormatan mereka padanya ialah: Selamat sejahtera! Dan akhir doa mereka ialah segala puji dipersembahkan kepada Allah yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam! 

(Al Quran: Surah Yunus; ayat 6-9)

Renung-renungkanlah & selamat beramal :)

Tuesday, 27 November 2012

Nilai Kontemporari Ahli Akademik

Apabila orang di luar sana bercakap perihal geran RU, FRGS, LRGS dan sebagainya, hari ini saya baru berpeluang mendengar taklimat ringkas Geran Jangka Pendek. Orang lain sudah penuh kuota geran mereka, saya hanya baru selesai dengan Geran Insentif. Jika ini pertandingan lumba lari di antara sang kura-kura dan sang arnab, sayalah kura-kura itu! Lambat bergerak.  Azam di hati, 'biar lambat, asal selamat'. Tetapi metodologi itu tidak boleh digunakan pakai untuk ahli akademik masa kini. Terutama sekali apabila berada dalam kelompok researh university. Sebentar tadi semasa sessi pengisian, timbalan dekan penyelidikan menyenarai pendek tugas ahli akademik. What are the roles and responsibilities of an academician?
1. Researcher
2. Educator
3. Supervisor
4. Examiner and reviewer
5. Author
6. Consultant

Emmm....point number 1 till 4, ini adalah sebahagian dari tugas saya sejak tahun 2006. Namun saya masih perlu banyak belajar dan diajari. Untuk point ke 5 dan ke 6, ini menjadi tuntutan kepada saya sejak berada di sini. Setiap waktu, dibayangi 'how to publish in the high impact factor journal'? Menjadi igauan 'how to become a good consultant'? In a way, how to 'publish and perish'. Ini bukan satu tugas dan tanggungjawab yang mudah. Ini menuntut satu keazaman yang tinggi dan jitu. Saya ingin dipimpin ke jalan yang betul, agar saya tidak tersasar dari apa yang sepatutnya dilakukan. Saya perlu berguru. 

Kami  juga disarankan untuk branding kepakaran dan mencari research niche masing-masing. How to identify our research niche?
1. PhD
2. National Agenda
3. Business Needs
4. Impact Factor
5.Grants/Funds
5. Passion/Interest 

Eemmmmmmmmm...sounds so interesting ya! Tetapi branding atau 'penjenamaan' diri ini bukannya boleh berlaku sekelip mata. Pengalaman setahun jagung ini, tidak mampu membawa saya ke mana-mana. Realitinya, tidak ada external funder yang sudi funding research dari seorang novice researcher. Mereka perlukan researcher berpengalaman, sekurang-kurangnya 10 tahun pengalaman di bidang ini. Ya, hakikatnya begitulah mereka memandang sepi iltizam penyelidik baru dan 'muda' (hehehee) seperti kami. Tetapi tidak mengapa, saya akan terus mencuba. Mungkin saya perlu ubah strategi dan pendekatan. Kata orang, we should work smart, not work hard. Ohhh yeahhhhhh... Saya perlu belajar dari taiko, otai dan sifu-sifu di luar sana.

Mahu atau tidak mahu, inilah sebahagian realiti kehidupan orang akademik. Saya perlu bergerak sekarang jika ingin menjadi ahli akademik yang mempunyai nilai kontemporari.

Monday, 28 May 2012

Gigi

Minggu lepas saya membawa Arissa ke klinik gigi. Gigi susu bawah Arissa masih elok tetapi gigi kekal sudah mula muncul. Jadi terpaksalah gigi susu dicabut untuk memberi ruang kepada gigi kekalnya tumbuh dengan baik. Arissa memang sentiasa excited untuk berjumpa doktor gigi, pertama inginkan gigi yang sihat dan cantik (ini hasil provokasi emaknya) dan keduanya sebab hendak dapatkan sticker dari tuan doktor.

Sampai di klinik mulanya excited, tetapi apabila nampak tuan doktor, dia jadi cuak. Saya sebenarnya cuak juga kerana ini ialah kali pertama giginya akan dicabut. Pelbagai ayat cool down I said to her. Alhamdulillah, 2 batang gigi berjaya dicabut dan she's fine. Ubat tahan sakit pun tidak dimakan. 

Hari ini giliran saya pula. Tapi ini bukan gigi susu yang perlu dicabut tetapi gigi kekal! Lama gigi ini bertahan akhirnya terpaksa dicabut juga. Semasa giliran anak, emaknya bukan main lagi cakap 'tak sakit'. Tetapi bila tiba giliran sendiri, siap tanya doktor 'sakit tak doktor'? Hehehe.. perasaan takut lebih dari anak. Tapi memang sakit...adoiiiiiii! Agaknya cabut gigi kekal lebih sakit daripada cabut gigi susu. Berapa bilangan gigi kekal anda sekarang? Saya sudah hilang satu gigi geraham hari ini. Namun, Allah itu Maha Kaya, bersyukur kita diberi Nya gigi yang pelbagai fungsi. Hilang satu geraham sebelah kanan, InsyaAllah geraham sebelah kiri akan terus berfungsi. 

Sebenarnya gigi yang sihat sangat penting.  Sesungguhnya nabi juga menggalakkan umatnya bersugi, kenapa? Makanan yang dimakan akan dicerna dengan sempurna jika gigi sihat. Oleh sebab itu gigi yang sihat akan menyumbang kepada tubuh badan yang sihat.  Pernafasan juga berlaku dengan baik jika gigi sihat. Hasilnya, otak yang baik dari gigi yang sihat. Apabila gigi sihat, badan pun cergas, InsyaAllah otak pun cerdas.

Tahukah anda pertumbuhan gigi yang normal bermula dari gigi bawah. Namun menurut kata doktor gigi, sejak 20 tahun kebelakangan ini, didapati ada kanak-kanak yang tumbuh gigi atas dahulu sebelum gigi bawah. Ini melanggar hukum normal pertumbuhan gigi? Apakah kesannya? Mengapa berlaku demikian? Doktor gigi perlu membuat kajian perihal ini. Anda ada anak kecil yang belum tumbuh gigi? Perhatikan perkembangan gigi anak anda. Anak saya Asyraf belum tumbuh gigi, sekarang emaknya tak sabar ingin melihat gigi pertama Asyraf tumbuh. Gigi mana dulu? Atas atau bawah?


Monday, 21 May 2012

Bibit Cinta

Minggu ini sudah pun minggu ke empat di bulan Mei. Sebagai internal examiner saya ada tiga manuskrip MBA untuk dibaca dan dikomen. Aduh! Sempatkah untuk menilai ketiga-tiganya dengan baik? Manuskrip diterima pada minggu lepas dan Jumaat ini report perlu dihantar ke pejabat sebelum viva voce pelajar berlangsung minggu hadapan. Saya telah glance-thru manuskrip-manuskrip tersebut, ada yang kerjanya baik dan ada juga sebaliknya. Jika belum bersedia untuk di examine kenapa hantar dissertation anda? Ini menjadi tanda tanya bagi saya. Saya dapat rasakan mereka ini hanya belajar untuk lulus MBA dan bukan untuk mendapat ilmu. Jika anda hanya berhajat untuk lulus maka keputusannya sudah tentu hanya lulus. Berbaloikah?

Hujung minggu ini saya akan beri lecture terakhir untuk semester ini. Selepas ini, pelajar akan menghadapai final exam dan cuti semester akan bermula mulai Julai. Persediaan mengajar untuk kelas akan datang belum pun sempat dilakukan. Kelas hujung minggu bermula dari jam 9 pagi hingga 5 petang. Penat jugalah jika hanya bercakap selama 8 jam. Jadi struktur pengajaran perlu diolah supaya tidak membosankan. Pelajar sekarang tidak hanya berminat kepada nota kuliah, mereka lebih berminat mendengar dan belajar jika apa yang diajar dapat dikaitkan dengan dunia di luar bilik kuliah. Guru pada zaman sekarang perlu menjadi seperti kamus bergerak kerana pelajar sekarang cepat dan peka dengan apa yang berlaku diluar sana. Kita bertanyakan soalan dihadapan, mereka sudah pantas menggoogle jawapannya. Kadangkala saya merasakan teknologi membawa 'penyakit malas berfikir' bagi sesetengah pelajar. Saya ketawa kecil apabila membaca abstrak pelajar yang di translate dari bahasa Inggeris ke bahasa Melayu. Apabila mereka sekadar menggunakan teknologi, yakni google traslation application, bahasa ibunda yang cantik menjadi caca-merba. Kadangkala teknologi yang diguna secara membuta tuli akan menjadikan manusia itu lebih bodoh.

Dua article saya juga telah ditolak oleh dua penerbit antarabangsa. Perasaan kecewa memang teramat sangat. Namun ini hakikat yang perlu diterima sebagai ahli akademik apatah lagi novice researcher seperti saya. Pelbagai nasihat diterima dari orang yang lebih berpengalaman berkaitan perkara ini. Pokoknya, kata mereka jangan putus asa dan keep sending your papers until they accept it! Sebenarnya saya harus menerima  hakikat yang saya tidak dapat menulis dengan baik sejak akhir-akhir ini. Pelbagai tugasan in between perlu diselesaikan, natijahnya paper ditulis dalam keadaan kelam kabut bagi memenuhi dateline. Ini satu amalan yang tidak baik. Saya kecundang dalam menguruskan masa sejak kebelakangan ini. I have to sit down and read & write my article carefully. Abstrak saya telah diterima di satu conference antarabangsa. InsyaAllah jika full paper diterima, pembentangan oral akan dibuat di Pafos, Cyprus bulan November nanti. Dateline bagi full paper 6 Jun nanti. Aduhaiiii...sempatkah mengejar dateline? Pada minggu yang sama, dua pelajar saya akan membuat pembentangan project management mereka. Jadi saya perlu membantu selia mereka. Sudah pasti saya juga perlu menyemak report mereka. 

Saya tidak pernah menyangka dunia akademik sesibuk ini. Saya tidak menyangka dunia akademik penuh warna warni. Saya tidak pernah menyangka saya akan terjerumus ke kancah akademik. Saya tidak pernah menyangka hari demi hari perasaan terhadap dunia akademik membibitkan rasa cinta!


Sunday, 4 March 2012

Where is your route?

Pagi tadi saya menghadiri taklimat pendek untuk pensyarah baru bersama dengan dekan pusat pengajian. Tugas pensyarah itu pada dasarnya nampak mudah tetapi hakikatnya ia tidak semudah yang disangka. Pelbagai kriteria perlu dipenuhi sebagai individu (pensyarah) untuk pusat pengajian khususnya dan universiti amnya. Tanggungjawab sebagai pensyarah di pusat pengajian siswazah sudah semestinya berbeza. Pelajar-pelajar yang datang ke sini adalah berdasarkan 'choice' mereka sendiri. Mereka memilih untuk menjadi pelajar di sini dengan membelanjakan wang sendiri. Jadi mereka dilihat sebagai 'customer' kepada pusat pengajian. Berbeza dengan pelajar undergraduate, mereka tiada pilihan. Universiti mana yang menawarkan tempat, ke sanalah destinasi mereka untuk meneruskan pengajian. Maka kami di sini harus bijak untuk deal with adult learners. Sekali lagi ia bukan tugas yang mudah bagi pensyarah baru seperti saya. Mereka yang datang ke sini kebanyakan sudah bekerja dan senior. Jadi expectation mereka sangat tinggi. Bukan mudah untuk memenuhi expectation seorang CEO, pengurus, engineers, bankers & etc. Ini salah satu cabaran bagi kami di pusat pengajian siswazah perniagaan.

Dekan ada juga mendedahkan hal-hal berkaitan kenaikan pangkat dan sebagainya. Kami dinasihatkan supaya bijak memilih route. Ini bermakna kenalpasti kebolehan along the process. And somehow, someone can lead the process within a short period. Bagi saya panjang atau pendek proses yang dilalui itu tidak penting. Yang penting apakah saya bersedia untuk melalui proses ini dan seterusnya? Adakah saya layak untuk digelar professor madya dengan hanya menumpukan kerja-kerja penulisan? Atau dengan hanya menumpu kepada kerja pengajaran?
Ya...untuk 'PROFESS'..ia bukan hanya untuk mendapat title profesor tetapi ia lebih kepada TANGGUNGJAWAB. Di sini kami ada individu yang mendapat professorship tanpa beliau memiliki ijazah kedoktoran. Dia insan bertuah, one in a million.

Apa perlu saya buat? Masih mencongak masa depan di alam akademik.

Thursday, 23 February 2012

Kekasih Lama Cinta Baru

Semalam saya menonton dan mendengar rancangan Semanis Kurma di TV9. Kesan laman sosial terhadap sesebuah perhubungan, lebih jelas hubungan suami isteri. Gara-gara Facebook, ada pasangan yang bercerai-berai. Facebook 'menemukan' kembali couple yang sudah lama terpisah, yakni kekasih lama. Hubungan intim terbina dan terbitlah cinta baru.

Panel jemputan Dr Rubiah sangat positif dalam memberi pandangan apabila beliau diminta komen berkaitan isu ini. Kata beliau, jika hubungan itu sihat dan tidak berlandaskan nafsu, why not untuk terus berhubungan dengan kekasih lama. Beliau berpendapat cinta itu suci..cinta itu memberi dan tidak semestinya memiliki. Jika bekas kekasih itu betul-betul menyayangi, dia akan betul-betul menjaga kekasihnya walaupun sudah menjadi hak orang lain. Maknanya di sini, terus menjadi sahabat walaupun kekasih lama sudah menjadi isteri atau suami kepada orang lain dengan SYARAT tidak mengganggu kerohanian rumahtangga kekasih lama. Itu kata-kata seorang kaunselor, sangat positif dan prakmatis.

Namun bagi saya, barang lama usah dikenang. Jadikan ia sebagai kenangan atau pengalaman hidup. Boleh bersahabat dengan kekasih lama tetapi ada bahayanya jika kita tidak pandai mengawal keadaan dan perasaan. Kita hanya manusia bukan malaikat. Hati dan perasaan boleh berubah. Apatah lagi kekasih lama itu is our first love. MasyaAllah, pasti sukar untuk kita delete segala memori dihati dan sanubari. Akan ada ruang-ruang kosong di hati yang akan cuba diisi. Sebenarnya jodoh kita yang Allah berikan adalah pasangan yang terbaik. Allah knows better than us. Maka itu jodoh kita telah ditentukanNya sejak dari dalam rahim ibu lagi. Sebenarnya kita boleh berpegang dengan kata-kata Dr Rubiah, 'cinta adalah untuk diberi bukan untuk dimiliki'. Jika kita benar cinta kekasih lama, biarlah kesucian cinta itu mekar di dalam kenangan. Usah kotori cinta itu dengan menanam cinta baru, kerana akan ada hati-hati lain yang terluka. Redhalah...pasrahlah dengan ketentuanNya. Yakin bahawa pasangan kita atau dia adalah yang terpilih untuk bersama kita atau dia didunia dan akhirat.

Miliki cinta manusia tidak pasti, cinta dari yang Esa itu yang hakiki. Jadi usahlah mencintai manusia melebihi Dia kerana kadangkala usaha itu mendatangkan sia-sia. Cinta Ilahi, cinta diri, InsyaAllah ianya tidak akan tersasar dari memperolehi cinta sejati.


Wednesday, 25 January 2012

PhD-Supervisor & Supervisee Relationship

Cuti CNY kali ini kami balik ke Alor Setar, hadiri kenduri kahwin Aina (sepupu) dan pasangannya Jay.
Photo: Wedding Aina & Jay, Alor Setar Kedah.

Di kesempatan ini saya sempat berbual dengan Sabri (suami sepupu) yang bakal menjadi pelajar PhD di UM. Sebelum ini beliau bercadang untuk melanjutkan ijazah kedoktoran di luar negara, namun atas sebab-sebab tertentu akhirnya universiti tempatan juga menjadi pilihan beliau. Dan yang menarik universiti Sabri bekerja hanya membenarkan beliau melanjutkan pengajian di universiti tempatan yang mendapat status 'research university' sahaja. Beliau tiada banyak pilihan kerana sains politik hanya ditawar di UM dan USM (research university). Dan beliau juga menghadapi masalah untuk mencari penyelia yang sesuai dengan kajian yang bakal dijalankan. Komen beliau sehingga kini belum menerima surat tawaran dan beliau telah diminta untuk memperbaiki proposal terlebih dahulu. Beliau merasakan ini satu bebanan, bagi saya ini adalah procedure yang baik sebelum diterima-layak sebagai pelajar PhD. Saya mengakui tidak semua proposal akan diguna-pakai kelak, namun sebuah proposal yang baik adalah landasan kepada kajian PhD anda seterusnya. Dari proposal yang baik, pihak pengurusan dapat menyediakan penyelia yang sesuai dengan kajian kita. Dari porposal yang baik juga, kita dapat menilai sama ada seseorang candidate itu 'bersedia' untuk memikul tanggungjawab sebagai pelajar PhD.

Di University of Hull, jika porposal anda tidak memenuhi criteria untuk melayakkan anda sebagai PhD candidate, anda terlebih dahulu akan di offer Master in Research selama setahun (new route to PhD) dan jika LULUS, kemudian baru anda akan diberi tawaran melanjutkan tawaran ke peringkat ijazah kedoktoran. Seterusnya, dalam tempoh setahun selepas itu anda sekali lagi perlu LULUS beberapa modules & defend proposal bagi melayakkan anda untuk teruskan pengajian PhD anda. Jadi tahun pertama merupakan tahun kritikal. Jarang berlaku kegagalan di dalam defend proposal. Namun, ada juga yang gagal melayakkan diri ke tahun seterusnya apabila gagal memenuhi kehendak internal examiners, research degree committee dan supervisors. Ini adalah kes terpencil, tetapi berlaku kepada pelajar kita yang ditaja ke luar negara. Punca? Hubungan pelajar terbabit dengan supervisor 'tegang'. Jika hubungan beliau dengan supervisor baik, saya merasakan supervisor akan menyokong beliau semasa defend proposal dilakukan. Jadi jangan adakan masalah dengan supervisor anda. Jika pengajian anda ditaja pihak tertentu, kegagalan seperti ini akan menimbulkan banyak kesulitan walaupun masih diperingkat awal pengajian.

Jadi nasihat saya kepada Sabri, jagalah hubungan baik dengan bakal supervisor walaupun kadangkala tidak semua perkara kita bersetuju dengan supervisor. Dan yang paling penting, hormatilah dia sebagai 'guru' walaupun pada hakikatnya sebagai contoh kita sudah pun menjadi senior lecturer atau menjawat jawatan tertinggi di penjawat awam. Sebagai PhD candidate, harus dibuang status seniority jauh-jauh, ikutlah resmi 'padi semakin tunduk semakin berisi'. InsyaAllah tidak rugi. Sebagai PhD candidate, harus dibuang rasa ego apabila dikritik, jadilah seperti 'alah bisa tegal biasa', InsyaAllah kita akan lebih memperbaiki diri. Letaklah diri anda sebagai orang yang ingin menimba ilmu dan yang paling baik, berkawanlah dengan supervisor anda secara profesional. Pengalaman saya, jika kita menghormati supervisor, InsyaAllah mereka juga akan menghormati kita. Tunjuklah cara profesional anda apabila bekerja supaya supervisor anda lebih percaya dan yakin untuk terus bekerja dengan anda.

Baru-baru ini saya menerima hamper dari pelajar DBA saya sempena my new born. Saya harap mereka ikhlas dengan hadiah tersebut bukan sebaliknya. Suami saya berseloroh 'student you nak bodek you lah tuh'. Saya harap mereka tidak mengamal budaya bodek sebegitu. Saya berharap mereka bersikap profesional terhadap saya walaupun saya baru beberapa bulan kembali bertugas di sini. Saya cuba menanamkan keyakinan bahawa pelajar saya ikhlas untuk berguru. Saya harap mereka menghormati saya sebagai guru walaupun kebanyakan mereka adalah lebih berusia dari saya. Banyak perkara yang saya ingin belajar dari mereka kerana pembelajaran yang berkesan adalah dari penghayatan dan kesinambungan dari orang disekeliling kita. Jadi sebuah kelas yang baik dan produktif bukan bergantung kepada pensyarah dan module pengajaran sahaja tetapi juga bergantung kepada siapa yang ingin belajar.

Semester kedua akan bermula tidak lama lagi. Saya teruja kerana diberi subjek baru untuk diajar pada semester ini. Namun dalam keterujaan itu, ada juga sedikit gementar setiap kali diminta mengajar subjek baru. Semoga dipermudahkan.


Wednesday, 20 July 2011

Sujud

Sujud syukur. Debaran viva sudah pun berakhir. Cabaran terakhir saya sebagai pelajar PhD juga telah berakhir jam 1.20 p.m tadi, waktu UK. Saya sentiasa berharap dan berdoa agar urusan PhD saya berakhir dengan mudah serta kebaikan. Dengan izin Allah dan berkat doa semua, viva-voce saya berjalan dengan lancar dan mudah pagi tadi. Allah makbulkan permintaan saya. Siapalah saya jika tidak bersyukur atas nikmat yang diberikanNya ini? Alhamdulillah.

Sebenarnya banyak yang hendak dikongsi pengalaman berviva, tetapi mata saya sudah layu kerana semalam tidak dapat jam tidur yang cukup. InsyaAllah, saya kongsi di lain entry.
From left: Internal examiner-Dr Haseeb Shabbir, supervisor- Prof Jon Reast, external examiner- Prof James Devlin and Chairperson-Dr David Bright.



The examiners: Both are very reasonable persons and a very good academic. I have a very good experience with them being the examiners.



Thursday, 28 April 2011

Air & Beg Plastik

Dua hari yang lalu deskmate saya si Suleiman dari Nigeria tertanya-tanya kenapa saya menggunakan bahasa Inggeris apabila bercakap dengan Irwan. Beliau hairan kerana kebiasaannya bila berjumpa dan bercakap dengan orang Melayu saya akan bercakap bahasa Melayu 'like nobody business' katanya. Saya maklumkan kepada Suleiman, Irwan Susila bukan orang Malaysia tetapi orang Indonesia. Rupa paras seakan mirip orang Melayu, tetapi bahasa Melayu si Irwan banyak berbeza dari bahasa Melayu yang saya guna-pakai. Jadi kami lebih selesa menggunakan bahasa Inggeris agar tidak ada yang salah faham. Si Irwan pernah bercerita, rakan Malaysianya pernah menjemput beliau untuk makan malam. Di tunggu-tunggu kawan itu hingga lewat malam tidak juga datang-datang 'menjemput'. He..he..sebenarnya beliau ingat kawannya itu akan mengambil dia dan bawa ke rumah untuk makan malam. Bagi mereka 'menjemput' itu kiranya ada kenderaan datang mengambil. Jika menjemput ke rumah, bagi Irwan mereka menggunakan bahasa 'mengundang'. Berlainan pemahaman walaupun serumpun.


Sebenarnya, sebahagian dari kajian PhD saya berkaitan permasalahan seperti ini. Merungkai multiplicity with the concept. Andai kata PhD itu semudah saya memberi jawapan kepada Suleiman, alangkah bahagianya hidup saya tiga tahun yang lalu. Malangnya ia tidak semudah itu. Jika orang bertanya apa/bagaimana PhD? Saya akan menjawab ia seumpama mengisi air ke dalam beg plastik. Air itu adalah all the hardworks & efforts dan beg plastik itu adalah diri kita. Hati-hatilah, jika terlebih atau terkurang 'air', tidak semena-mena beg plastik itu akan pecah. Walaubagaimanapun, bagi kita yang beragama dan berpedoman, jika beg plastik itu pecah tidak semena-mena, janganlah berputus asa. Carilah jalan bagaimana untuk menampung bahagian yang bocor itu. Who knows? Apabila pernah pecah sekali dan ditampung, beg platik itu mampu bertahan lebih lama. He..he..bila penuh air dengan sukatan yang betul boleh masukkan ke dalam peti sejuk. Jadi ais batu, boleh buat ais kacang. Sedap bukan? Letak sirap, jagung, cendol, semua orang boleh makan. Setidak pun kepada penggemar ais kacang seperti saya! Itulah PhD, ilmu yang dapat memberi manafaat, jika tidak kepada semua orang, manafaat kepada sasarannya. Jadi ianya bukan mudah, harus terima hakikat ini.

Saturday, 23 April 2011

Sederhana

Library ditutup selama 4 hari berturut-turut berikutan semalam adalah cuti Good Friday, diikuti 2 hari weekend-Sabtu & Ahad dan Easter Monday pada hari Isnin ini. Universiti lengang betul, aman rasa. Pagi tadi di dalam PhD room pun hanya ada 3 kelibat manusia termasuk saya. Semua orang pergi bercuti agaknya atau pun bersantai di rumah menikmati cuaca panas sempena cuti panjang. Kalau di Malaysia, harus sudah balik kampung. Dua hari lepas, telefon ke Malaysia. Kelakar campur sedih bila ada makcik saya buat lawak begini... ' dah cuti panjang mai la balik kampung' kata makcik. He..he..cewah..cewah, bunyi macam Hull tuh sama jauh jaraknya Penang to Alor Setar.

Pemerhatian saya, religious holiday sebegini tidaklah begitu diraikan di sini. Jika ditanya kepada mereka, mostly akan menjawab mereka outing, shopping and exchange gifts, di hari Easter itu sahaja. Tidak ada lagi penghayatan kekononnya the crucifixion of Jesus Christ and his death- mengikut kepercayaan mereka. Easter juga ada dikaitkan dengan kepercayaan agama Yahudi. Walaubagaimanapun 'roh perayaan' itu tidak ada. Di suatu sudut ia suatu fenomena yang bagus. Perkara yang 'diada-adakan', cerita tidak benar berkaitan peristiwa nabi Isa memang wajar dilupakan, hatta harus menyedarkan mereka berkaitan perkara sebenar. Ada yang sudah sedar, tapi pahit untuk mereka mengakui kebenaran itu. Tetapi 'mereka' bijak! Menukar aktiviti keagaman ini kepada profit making walaupun pada dasarnya mereka juga sudah tidak begitu percaya apa yang ditulis di dalam the new testament itu. Pergilah ke mana-mana pasaraya di sini, mesti murah harga coklat sekarang ini. Terutama coklat yg berbentuk 'telur' atau Easter Egg. Pelbagai bentuk cake, cookies & hadiah dijual sempena Easter. Kena pada masanya sudah tentu orang ramai beli, sudah tentu mendatangkan keuntungan kepada peniaga. Tetapi lain pula di Malaysia yaa...bila tiba musim perayaan, time itu jugalah harga gula naik, harga minya naik....semua naiklah. Darah pun naik sebab geram duit keluar macam air.
Picture: Easter Eggs- hasil Google-an.

Kawan-kawan suami di tempat kerja beliau bertanya, apa yang suami saya berbelanja during Easter, during Christmas? Mereka terkejut apabila suami maklumkan beliau tak beli apa-apa pun untuk anak-anak. Sebenarnya suami malas nak ulas panjang. Cukup bagi jawapan sebegitu. Mereka kebiasaannya akan berhabisan berbelanja apabila tiba musim perayaan sebegini. Yang kelakar, mereka berseloroh, berkata 'you are not generous'! kepada suami. Mereka macam orang kita jugalah, atau orang kita juga macam mereka? Berbelanja sakan kita bila nak sambut Aidil-Fitri, baju baru, langsir baru, perabot baru...boleh katakan semua serba barulah. Jika kita berbelanja sedemikian, kiranya saling tak tumpah seperti cara orang kafir berbelanja untuk sambut perayaan. Nauzubillah. Biarlah berwasatiah, berserderhana itu lebih disukai di dalam Islam.

Esok diharapkan cuaca molek seperti hari ini. Bercadang untuk ke carboot! Seronoknyaaaaaaa, tapi itulah sudah berjanji untuk bersederhana walaupun berbelanja di carboot. Tapi kalau terjumpa kasut Clarks anak harga £3-4 takkan saya tak beli kot? walau anak dah cukup kasut? Kalau terjumpa shirt Next harga £2-3 takkan saya tak sambar? Sudah lah masih molek, ada jenama pulak tuh walaupun second hand, tetapi jika nasib baik boleh dapat yg baru juga. Itulah carboot, boleh hilang pertimbangan semasa membeli. Nafsu!

Monday, 18 April 2011

Ku Pohon

Semakin hampir ke penghujung pengajian, semakin resah-gelisah jadinya perasaan saya. Bercampur baur perasaan ini jadinya. Ada rasa takut, ada rasa lega, ada rasa gembira dan tak kurang juga rasa sedih. Takut kerana belum selesai VIVA, lega kerana Alhamdulillah naskah yang ditulis, research yang dibuat sudah diterima supervisors dan akan ada sedikit penambahan di bahagian literature. Tidak mengapa, saya rela mengemas-kini semula asalkan ianya membantu menambah-baikan thesis saya sebelum sampai ke tangan examiners. Semua orang ingin deliver yang terbaik dengan hasil kerja mereka termasuklah saya. Gembira, Alhamdulillah dan InsyaAllah perjuangan saya dalam menempuh suka-duka, liku-liku PhD akan berakhir tidak lama lagi. Sedih kerana saya akan meninggalkan detik-detik perjuangan ini di bumi England. Sudah sampai klimaks, jadi selepas ini kehidupan akan menjadi dan kembali seperti biasa. Mungkin lebih sibuk? Mungkin lebih tiada masa yang berkualiti untuk keluarga? Kerana menurut cerita kawan-kawan yang sudah kembali ke Malaysia, life is more hectic over there! Wallahualam. Walaubagaimana pun, saya tetap bersyukur dengan segala yang Allah kurniakan kepada saya hingga ke saat ini, dan saya terus memohon agar kasih sayangNya berterusan untuk kami sekeluarga terus membina kehidupan di bumi yang fana ini, lagi sementara.
Mulakan dengan Bismillah,


Ya Allah mudahkan lah dan jangan Engkau susahkan dan sempurnakanlah dengan kebaikan.


Wednesday, 9 March 2011

Bahasa

Semalam, saya sangat gelihati apabila Arissa describe rambut dibawah armpit sebagai 'black-grass'. Pada mulanya saya terpinga-pinga, apa itu black-grass. Tetapi apabila Arissa demo where is the black-grass (sambil menunjukkan ketiaknya), barulah saya faham apa maksud dia. Sekali fikir, ada juga logiknya. Ada persamaan dari segi rupa tapi tidak sama. Masalah bahasa, tetapi maksud untuk disampaikan berjaya difahami oleh ibunya. Ibu mana yang tak faham bahasa anak bukan? Suami saya selalu bertanya, bagaimana saya tahu anak saya lapar? Anak saya sakit? Sebenarnya selain daripada naluri seorang ibu, sebagai ibu kita akan faham bahasa anak walaupun ianya tidak dituturkan dengan jelas. Itu anugerah!
Hari ini saya ada meeting dengan supervisor. Sebelum meeting, as usual practice kami akan highlight issue berbangkit yang akan kami bincang melalui email. Kebiasaannya, di setiap pertemuan & perbincangan, jarang keputusan muktamad dibuat. Ini bermakna, akan berlaku lagi pertemuan dan perbincangan seterusnya. Tetapi sejak akhir-akhir ini perbincangan kami lebih menjurus kepada untuk membuat keputusan muktamad. Jadinya, saya sentiasa nervous dengan soalan-soalan beliau, takut-takut tidak dapat memberi argument dan jawapan yang bernas secara spontan. Seharusnya perkara seperti ini tidak berlaku apabila sudah berada di penghujung pengajian. Sebolehnya harus sudah boleh faham-tahu dari A-Z. Malangnya manusia itu lemah, tidak terlepas dari membuat kesilapan or tersasul. Termasuklah diri saya yang serba kekurangan ini.
Alahaiiiiiiii, masalah bahasa juga puncanya ini. Di dalam sedang rancak berbincang, here & there, ada something yang kami tidak dapat membuat keputusan kerana masing-masing sudah blur. Dan saya tiba-tiba terpancul soalan dari mulut dengan bertanyakan kepada beliau, HOW DO YOU UNDERSTAND THIS? (sambil point jari kepada sebaris ayat yang kami berdua tengah pening untuk faham). Makkkkkkkk aaaiiiiiiiiiii biadapnya!....siapa yang guru nie? Saya ke? Or Profesor saya? Saya terus rasa bersalah. Serta-merta memohon maaf. Tapi ianya masih terkesan di hati saya hingga ke saat ini. Sebenarnya saya hanya ingin mengetahui adakah pemahaman saya sama dengan dia? Tetapi gaya bahasa saya seolah-olah, saya pula nak test kefahaman dia! Eiiiiii tak berbahasa betul saya ni.
Harap-harap peristiwa tadi tidak langsung memberi kesan kepada professor saya bermata biru yang baik itu. Tidak patutnya celupar dengan guru. Ilmu tidak berkat. Di dalam cuba menjaga adab berguru, kadang kala 'tersasul' juga. Kekacauan minda mengatasi emosi yang rasional, seterusnya gagal mengawal tutur kata. Betul kata pepatah lidah itu lebih tajam dari mata pedang! Ampunkan saya ya Tuhan. Seperti biasa saya akan mengucapkan berkali-kali thank you (macam budak-budak seriously) sebelum meninggalkan office beliau. Tetapi hari ini, ditambah 'thank you & sorry'. Dia senyum sambil berkata please don't have too much worries, I understand how you feel at this stage. Terima kasih Prof. kerana memahami supervisee mu yang separa tidak betul ini. Harus lebih berhati-hati lagi selepas ini, kerana sebolehnya saya sentiasa mahu hormat pada guru.